Pages

Wednesday, May 21, 2014

Catatan Perjalanan: Seni & Alam - ‘Wings of KKB 2014’: ‘Selangor Birds Race’ Kuala Kubu Bharu - Awana Hotel Resorts World Genting

Jauh perjalanan luas pemandangan dan perjalanan juga adalah sebahagian daripada seni dalam kehidupan. Alam ini diciptakan Tuhan dengan penuh kesenian seperti yang dapat kita lihat. Di Malaysia, terdapat pelbagai spesis flora dan fauna yang hidup liar di Hutan Hujan Tropika. Kuala Kubu Bharu dan Genting Highlands adalah di antara lokasi yang menjadi habitat flora dan fauna termasuk pelbagai spesis burung.


Burung merupakan makhluk ciptaan Tuhan yang sangat unik dan ianya penuh dengan nilai kesenian. Terdapat pelbagai spesis burung di dalam dunia ini dari yang kecil seperti burung kelicap hinggalah yang besar seperti burung unta. Biasanya burung boleh terbang tetapi ada beberapa spesis yang tidak boleh terbang. Manakala ada juga burung yang boleh berenang laju seperti penguin. Keindahan penciptaan burung boleh kita lihat melalui bentuk kepala, mata, paruh, badan, sayap, kaki dan ekor burung yang berbeza mengikut spesis-spesisnya. Bulunya yang berbeza dari segi tekstur dan warna amat mengagumkan. Subhanallah...


Setiap orang mempunyai tujuan dan pandangan tersendiri tentang perjalanan selain daripada tujuan melihat tempat-tempat, perjalanan juga memberikan pengalaman dan pengetahuan yang amat berharga. Perjalanan juga dapat mengeratkan hubungan di antara manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam, haiwan dan kebesaran Tuhan.


Sekali lagi saya berpeluang ke Kuala Kubu Bharu dan kali ini untuk mengikuti program ‘Wings of KKB 2014’: ‘Selangor Birds Race’ yang juga berlangsung di Genting Highlands. Objektif utama program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan memelihara alam sekitar agar habitat akan terpelihara secara langsung boleh mengekalkan seni keindahan ciptaan Tuhan. Pelbagai acara dan pertandingan berkaitan burung diadakan untuk pelbagai peringkat usia, ianya adalah idea bernas supaya semua lapisan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar dan prihatin terhadap hidupan liar.



Program ini mendedahkan saya tentang spesis-spesis burung di Malaysia terutamanya spesis-spesis burung yang terdapat di Kuala Kubu Bharu dan Genting Highlands. Saya juga mendapat tahu terdapat perbezaan spesis burung mengikut perbezaan ketinggian dari aras laut. Spesis burung yang terdapat di Kuala Kubu Bharu antaranya ialah Coppersmith Barbet (Takur Tukang Besi), Oriental Pied Hornbil (Enggang Kelingking) dan Red-wattled Lapwing (Burung Minta Duit). Manakala di Pusat Peranginan Genting Highlands pula terdapat pelbagai spesis burung gunung seperti Red-headed Trogon (Burung Kesumba Gunung). Penglibatan pemerhati-pemerhati burung professional dalam dan luar negara seperti pihak Birds Nature & Us (BNU), Komuniti Sayap Surabaya, Indonesia dan individu-individu dari Sabah, Sarawak, Jepun dan beberapa negara Timur Tengah memeriahkan lagi program ini. Melalui program ini juga pengetahuan tentang tabiat dan pemakanan burung dapat diketahui ramai.





Program anjuran bersama Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Resorts World Genting ini juga memberikan saya peluang untuk menginap selama dua hari satu malam di Awana Hotel Resorts World Genting buat kali pertama. Keselesaan dan layanan yang amat memuaskan hati membuatkan saya ingin untuk datang menginap lagi di sini. Sekiranya anda ingin mengunjungi Pusat Peranginan Genting Highlands saya mengesyorkan anda supaya menginap di Awana Hotel Resorts World Genting kerana selain daripada memberi keselesaan dan layanan yang baik, permandangan di sini juga sangat cantik.






Selain program utama kami, kami sempat singgah ke warung Pak Man Cendol n Makan di Kuala Kubu Bharu semasa dalam perjalanan ke Awana Resort World Genting. Manakala pada hari keduanya kami sempat melawat Happy Bee Farm dan sebelum balik ke Kuala Lumpur kami singgah di Taman Santai Strawberi Genting.





Terima kasih Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Resorts World Genting, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan M-Mode Berhad di atas jemputan ini dan sekaligus memberikan saya pengalaman baru yang cukup bernilai.

Saya ingin mengakhiri terbitan saya kali dengan mengajak anda semua menikmati seni ciptaan Tuhan melalui gambar-gambar burung yang telah dihasilkan oleh ahli-ahli Birds Nature & Us (BNU), di “facebook” mereka. Semoga ianya akan memberi kesedaran kepada kita terutama diri saya, akan hakikat kehebatan ciptaan Tuhan. Amin...

2 comments: