Pages

Showing posts with label Malay. Show all posts
Showing posts with label Malay. Show all posts

Monday, July 21, 2014

Catatan Perjalanan: Air Tangan Chef “Melukis di Pinggan” Menjadi Juadah Berbuka Puasa di Ancasa Royale Hotel, Pekan, Pahang, Malaysia.


Menghias makanan seumpama “melukis di pinggan” adalah kata-kata yang indah keluar dari mulut chef Mohd Badrulhisyam Abu Bakar semasa sesi temubual di antara kami. Saya terpegun melihat cara beliau menghias setiap makanan di atas pinggan dengan mudah dan cepat namun hasilnya cukup mempersonakan. Selaku Malay Chef di Restoran Saffron Brasserie, Ancasa Royale Hotel, Pekan, Pahang beliau bertanggungjawab ke atas setiap hidangan tradisional Melayu yang menjadi sajian utama bufet Ramadan tahun ini.




Sungguh menakjubkan! Ternyata air tangan beliau bukan hanya cantik pada rupa, detik hati saya tatkala menikmati sajian pertama di restoran ini. Keenakan hidangan hasil sentuhan seni beliau membuatkan saya teruja untuk mempromosi bufet Ramadan bagi Ancasa Royale Hotel, Pekan, Pahang ini. Restoran tersebut mempunyai sijil halal JAKIM dan tidak perlu was-was untuk menikmati sajian di sana.





Terdapat pelbagai sajian tradisional dan autentik yang pasti menyiurkan anda antaranya ialah Sayur Kampung Masak Budu, Ketam Lemak Rebung, patin Tempoyak dan Daging Opor. Puding DiRaja pada suatu waktu dahulu hanya hidangan di istana turut disajikan disini. Saya berasa amat bertuah kerana K.D.Y.T.M Tengku Puan Pahang,Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan IskandarAlhaj sudi mencemar duli bagi merasmikan bufet Ramadan tersebut.



Terima kasih Ancasa Royale Hotel, Pekan, Pahang, Kementerian Pelancongan danKebudayaan Malaysia, Tourism Malaysia, Tourism Malaysia Pahang dan M-ModeBerhad atas jemputan ini sekaligus membawa saya melawat ke negeri Pahang khususnya Bandar DiRaja Pekan.

Sebelum mengakhiri saya ingin mengesyorkan anda semua untuk berbuka puasa di Ancasa Royale Hotel, Pekan, Pahang.

InsyaAllah diterbitan akan datang, saya akan berkongsi pengalaman manis saya ketika berada selama tiga hari dua malam di Bandar DiRaja Pekan, Pahang...

Sunday, July 20, 2014

Catatan Perjalanan: Seni Masakan Timur dan Barat Juadah Berbuka Puasa di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia?


Sudah menjadi trend masa kini ramai di kalangan kita memilih bufet Ramadan untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan. Bagi sesiapa yang tinggal di Seremban atau bercadang berhujung minggu di sana pada bulan Ramadan 2014 ini saya mencadangkan agar berbuka puasa di Klana Resort Seremban. Tahun ini Klana Resort menyediakan masakan yang bercitarasa kampung dengan tema “Citoraso Suasano Kampung”. Coffee House Selera, Klana Resort mempunyai sijil halal JAKIM dan menyajikan masakan yang sangat sedap.


Meskipun bertemakan “Citoraso Suasano Kampung” yang membawa maksud citarasa yang berkonsepkan masakan asli kampung, Coffee House Selera, Klana Resort sebenarnya menghidangkan beraneka jenis masakan yang boleh dikategorikan sebagai Seni Masakan Timur dan Barat. Apa tidaknya, Sushi yang terkenal di Jepun dan Canalonni iaitu sejenis pasta yang berasal dari Itali juga terhidang di sini. Terdapat juga hidangan Kambing Panggang, Bubur Lambuk Kambing, Tom Yam Campur, Baked Lotus Fragrant Rice, Kong Po Chicken With Cashew Nut, Sautee Potatoes With Capsicum dan Roast Beef Black Pepper Sauce.






Manakala terdapat melebihi 100 jenis masakan autentik kampung seperti Patin Gulai Tempoyak, Gulai Lemak Telur Itik, Asam Pedas Ekor Lembu dan Rendang Pucuk Ubi. Hidangan manisan pula, terdiri daripada kuih muih tradisional Melayu, agar-agar, puding, kek dan pastri.





Pihak Pengurusan Klana Resort juga menyediakan surau dengan kehadiran imam jemputan untuk membawa solat berjemaah Maghrib, Isyak dan Terawih. Keprihatinan ini memudahkan pengunjung untuk menjalani ibadah bagi memenuhi tuntutan Agama, ianya juga sejajar dengan konteks dan konsep ibadah dalam bulan Ramadan.

Jadi apa tunggu lagi, jom berbuka puasa di Klana Resort. Kepada sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi Klana Resort Seremban.

Wednesday, May 21, 2014

Catatan Perjalanan: Seni & Alam - ‘Wings of KKB 2014’: ‘Selangor Birds Race’ Kuala Kubu Bharu - Awana Hotel Resorts World Genting

Jauh perjalanan luas pemandangan dan perjalanan juga adalah sebahagian daripada seni dalam kehidupan. Alam ini diciptakan Tuhan dengan penuh kesenian seperti yang dapat kita lihat. Di Malaysia, terdapat pelbagai spesis flora dan fauna yang hidup liar di Hutan Hujan Tropika. Kuala Kubu Bharu dan Genting Highlands adalah di antara lokasi yang menjadi habitat flora dan fauna termasuk pelbagai spesis burung.


Burung merupakan makhluk ciptaan Tuhan yang sangat unik dan ianya penuh dengan nilai kesenian. Terdapat pelbagai spesis burung di dalam dunia ini dari yang kecil seperti burung kelicap hinggalah yang besar seperti burung unta. Biasanya burung boleh terbang tetapi ada beberapa spesis yang tidak boleh terbang. Manakala ada juga burung yang boleh berenang laju seperti penguin. Keindahan penciptaan burung boleh kita lihat melalui bentuk kepala, mata, paruh, badan, sayap, kaki dan ekor burung yang berbeza mengikut spesis-spesisnya. Bulunya yang berbeza dari segi tekstur dan warna amat mengagumkan. Subhanallah...


Setiap orang mempunyai tujuan dan pandangan tersendiri tentang perjalanan selain daripada tujuan melihat tempat-tempat, perjalanan juga memberikan pengalaman dan pengetahuan yang amat berharga. Perjalanan juga dapat mengeratkan hubungan di antara manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam, haiwan dan kebesaran Tuhan.


Sekali lagi saya berpeluang ke Kuala Kubu Bharu dan kali ini untuk mengikuti program ‘Wings of KKB 2014’: ‘Selangor Birds Race’ yang juga berlangsung di Genting Highlands. Objektif utama program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan memelihara alam sekitar agar habitat akan terpelihara secara langsung boleh mengekalkan seni keindahan ciptaan Tuhan. Pelbagai acara dan pertandingan berkaitan burung diadakan untuk pelbagai peringkat usia, ianya adalah idea bernas supaya semua lapisan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar dan prihatin terhadap hidupan liar.



Program ini mendedahkan saya tentang spesis-spesis burung di Malaysia terutamanya spesis-spesis burung yang terdapat di Kuala Kubu Bharu dan Genting Highlands. Saya juga mendapat tahu terdapat perbezaan spesis burung mengikut perbezaan ketinggian dari aras laut. Spesis burung yang terdapat di Kuala Kubu Bharu antaranya ialah Coppersmith Barbet (Takur Tukang Besi), Oriental Pied Hornbil (Enggang Kelingking) dan Red-wattled Lapwing (Burung Minta Duit). Manakala di Pusat Peranginan Genting Highlands pula terdapat pelbagai spesis burung gunung seperti Red-headed Trogon (Burung Kesumba Gunung). Penglibatan pemerhati-pemerhati burung professional dalam dan luar negara seperti pihak Birds Nature & Us (BNU), Komuniti Sayap Surabaya, Indonesia dan individu-individu dari Sabah, Sarawak, Jepun dan beberapa negara Timur Tengah memeriahkan lagi program ini. Melalui program ini juga pengetahuan tentang tabiat dan pemakanan burung dapat diketahui ramai.





Program anjuran bersama Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Resorts World Genting ini juga memberikan saya peluang untuk menginap selama dua hari satu malam di Awana Hotel Resorts World Genting buat kali pertama. Keselesaan dan layanan yang amat memuaskan hati membuatkan saya ingin untuk datang menginap lagi di sini. Sekiranya anda ingin mengunjungi Pusat Peranginan Genting Highlands saya mengesyorkan anda supaya menginap di Awana Hotel Resorts World Genting kerana selain daripada memberi keselesaan dan layanan yang baik, permandangan di sini juga sangat cantik.






Selain program utama kami, kami sempat singgah ke warung Pak Man Cendol n Makan di Kuala Kubu Bharu semasa dalam perjalanan ke Awana Resort World Genting. Manakala pada hari keduanya kami sempat melawat Happy Bee Farm dan sebelum balik ke Kuala Lumpur kami singgah di Taman Santai Strawberi Genting.





Terima kasih Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Resorts World Genting, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan M-Mode Berhad di atas jemputan ini dan sekaligus memberikan saya pengalaman baru yang cukup bernilai.

Saya ingin mengakhiri terbitan saya kali dengan mengajak anda semua menikmati seni ciptaan Tuhan melalui gambar-gambar burung yang telah dihasilkan oleh ahli-ahli Birds Nature & Us (BNU), di “facebook” mereka. Semoga ianya akan memberi kesedaran kepada kita terutama diri saya, akan hakikat kehebatan ciptaan Tuhan. Amin...

Thursday, April 24, 2014

Catatan Perjalanan: Sidang Media Program ‘Wings of KKB 2014’: ‘Selangor Birds Race’ Kuala Kubu Bharu - Awana Hotel Resorts World Genting 25 hingga 27 April 2014


Satu Sidang Media telah berlangsung pada 8 April 2014 di Awana Hotel Resorts World Genting bagi mewar-warkan program ‘Wings of KKB 2014’: Selangor Birds Race’ yang akan diadakan pada 25 hingga 27 April 2014. Program anjuran bersama Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Resorts World Genting ini menyediakan pelbagai acara menarik seperti seminar tentang burung, pertandingan mengenal pasti burung, pertandingan fotografi burung, ‘explorace’ & ‘mini explorace’, pameran dan cabutan bertuah. Menurut pihak MDHS objektif utama penganjuran Program ‘Wings of KKB’ adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti memerhati burung.



Terdapat 10 lokasi ‘checkpoint’ yang ditetapkan bagi acara pertandingan mengenal pasti burung untuk para peserta bergerak dari satu tempat ke satu tempat  bermula di Bandar Kuala Kubu Bharu dan berakhir di Resorts World Genting. Ianya memberikan peluang kepada peserta-peserta melihat dan mengenal pasti pelbagai spesis burung yang berlainan mengikut perbezaan ketinggian dari aras laut.

Hadiah menarik disediakan oleh pihak penganjur berjumlah RM10,000.00 dalam bentuk barangan bagi acara pertandingan mengenal pasti burung untuk setiap kategori yang dipertandingkan; kategori pelajar sekolah, kategori terbuka dan pelajar universiti & kolej. Manakala, hadiah utama untuk pertandingan fotografi burung adalah kamera Nikon D3100. Terdapat juga hadiah penginapan dua hari satu malam di First World Hotel dan hadiah-hadiah sampingan.

Penaja utama bagi program ini adalah Resorts World Genting. Cik Katherine Chew, Timbalan Presiden Komunikasi dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, memaklumkan, penglibatan untuk dua tahun berturut-turut menunjukkan kesungguhan Resorts World Genting di dalam program yang memberikan kesedaran kepada pelancong dan masyarakat setempat tentang pemuliharaan hutan dan alam semulajadi.

Menurut penganjur, selain mempromosikan Daerah Hulu Selangor dan Pusat Peranginan Genting Highlands sebagai salah satu lokasi memerhati burung, program ‘Wings of KKB 2014’ : Selangor Birds Race’ ini adalah untuk memeriahkan dan menyokong Tahun Melawat Malaysia 2014. Program ini juga mampu menarik pelancong dalam dan luar negara terutama pemerhati burung untuk datang dan menjadi peserta.



Terima kasih kepada Majlis Daerah Hulu Selangor, Resorts World Genting, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan M-Mode Berhad di atas jemputan ini sekaligus memberikan saya kesempatan untuk mengunjungi Awana Hotel Resorts World Genting buat kali pertama.

Untuk maklumat lanjut boleh di dapati di laman sesawang MDHS atau blog wingsofkkb.

Catatan Perjalanan: Aktiviti memerhati burung di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor Malaysia

Sekali lagi saya berpeluang mengikuti program Sahabat Media sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 dan kali ini kami dijemput oleh pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk aktiviti memerhati burung. Memerhati burung adalah aktiviti menarik dan jarang didengar. Apakah aktiviti memerhati burung?


Memerhati burung di Kuala Kubu Bharu tidaklah sama dengan melihat burung dalam sangkar di taman-taman burung. Pihak MDHS telah membawa kami berjalan-jalan di sekitar tasik dan ke pinggir hutan di Taman Millenium untuk mencari, memerhati dan mengenal pasti spesis burung yang ditemui.


Kuala Kubu Bharu merupakan sebuah bandar taman dan bandar yang telah dirancang oleh Jururancang Bandar pertama semasa zaman British. Menurut Puan Azlina Mokhtar, Pegawai Perancang Bandar MDHS, pada zaman itu, bandar Kuala Kubu Bharu telah ditanam dengan pokok yang bernilai seperti ‘Mahogany’ dan Tembusu. Ianya kini, telah menjadi tempat tinggal yang sesuai untuk binatang-binatang termasuklah burung. Terdapat pelbagai spesis burung yang hidup di sini dan ianya terdiri daripada burung pemastautin dan burung hijrah.



Pihak MDHS menyediakan teropong dan buku panduan tentang spesis burung yang terdapat di Malaysia bagi memudahkan kami melihat dan mengenal pasti spesis burung yang kami temui. Red-wattled Lapwing (Burung Minta Duit), Black Crested Bulbul (Merbah Jambul), Oriental Magpie Robin (Murai) dan beberapa spesis lain telah kami temui di sini. 





Penggunaan lensa biasa (18-55 mm) menghadkan rakaman gambar burung-burung terutama secara dekat. Ini adalah suatu hikmah kerana ianya mengalihkan tumpuan saya untuk merakamkan keindahan permandangan di sini. Walau bagaimanapun untuk melihat gambar burung yang lebih jelas dan menarik, anda bolehlah berkunjung ke blog sahabat-sahabat saya:- 
  1. dikbee mengecam burung
  2. silenceblogz meninjau burung




Aktiviti-aktiviti kami lakukan di sini berlangsung selama dua hari. Ianya termasuk juga acara makan malam istimewa di Restoran Kalumpang Grill & Steamboat, sambutan Hari Wanita Daerah Hulu Selangor, mandi-manda di sungai/ air terjun, menaiki pacuan 4 roda dan ‘fliying fox’ di Kalumpang Resort & Training Centre.




Terima kasih Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Tourism Malaysia dan M-Mode Berhad di atas jemputan ini dan sekaligus memberikan saya peluang dan pengalaman baru.

Sebelum saya mengakhiri terbitan saya kali ini, saya ingin mengajak anda semua mengunjungi daerah Hulu Selangor yang terletak di kira-kira 68 kilometer dari Kuala Lumpur terutama ke Kuala Kubu Bharu dan Kalumpang kerana ianya adalah salah satu destinasi pelancongan yang menarik di Malaysia. Untuk maklumat lanjut sila rujuk, laman sesawang Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)