Jauh
perjalanan luas pemandangan dan perjalanan juga adalah sebahagian daripada seni
dalam kehidupan. Alam ini diciptakan Tuhan dengan penuh kesenian seperti yang dapat
kita lihat. Di Malaysia, terdapat pelbagai spesis flora dan fauna yang hidup liar
di Hutan Hujan Tropika. Kuala Kubu Bharu dan Genting Highlands adalah di antara
lokasi yang menjadi habitat flora dan fauna termasuk pelbagai spesis burung.
Burung
merupakan makhluk ciptaan Tuhan yang sangat unik dan ianya penuh dengan nilai
kesenian. Terdapat pelbagai spesis burung di dalam dunia ini dari yang kecil
seperti burung kelicap hinggalah yang besar seperti burung unta. Biasanya
burung boleh terbang tetapi ada beberapa spesis yang tidak boleh terbang. Manakala
ada juga burung yang boleh berenang laju seperti penguin. Keindahan penciptaan
burung boleh kita lihat melalui bentuk kepala, mata, paruh, badan, sayap, kaki
dan ekor burung yang berbeza mengikut spesis-spesisnya. Bulunya yang berbeza dari
segi tekstur dan warna amat mengagumkan. Subhanallah...
Setiap orang
mempunyai tujuan dan pandangan tersendiri tentang perjalanan selain daripada
tujuan melihat tempat-tempat, perjalanan juga memberikan pengalaman dan pengetahuan
yang amat berharga. Perjalanan juga dapat mengeratkan hubungan di antara
manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam, haiwan dan kebesaran
Tuhan.
Sekali lagi saya
berpeluang ke Kuala Kubu Bharu dan kali ini untuk mengikuti program ‘Wings of
KKB 2014’: ‘Selangor Birds Race’ yang juga berlangsung di Genting Highlands. Objektif
utama program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang
kepentingan memelihara alam sekitar agar habitat akan terpelihara secara
langsung boleh mengekalkan seni keindahan ciptaan Tuhan. Pelbagai acara dan
pertandingan berkaitan burung diadakan untuk pelbagai peringkat usia, ianya adalah
idea bernas supaya semua lapisan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab menjaga
kebersihan alam sekitar dan prihatin terhadap hidupan liar.
Program ini mendedahkan
saya tentang spesis-spesis burung di Malaysia terutamanya spesis-spesis burung yang
terdapat di Kuala Kubu Bharu dan Genting Highlands. Saya juga mendapat tahu
terdapat perbezaan spesis burung mengikut perbezaan ketinggian dari aras laut. Spesis
burung yang terdapat di Kuala Kubu Bharu antaranya ialah Coppersmith Barbet (Takur
Tukang Besi), Oriental Pied Hornbil (Enggang Kelingking) dan Red-wattled
Lapwing (Burung Minta Duit). Manakala di Pusat Peranginan Genting Highlands
pula terdapat pelbagai spesis burung gunung seperti Red-headed Trogon (Burung
Kesumba Gunung). Penglibatan pemerhati-pemerhati burung professional dalam dan
luar negara seperti pihak Birds Nature & Us (BNU), Komuniti Sayap Surabaya,
Indonesia dan individu-individu dari Sabah, Sarawak, Jepun dan beberapa negara
Timur Tengah memeriahkan lagi program ini. Melalui program
ini juga pengetahuan tentang tabiat dan pemakanan burung dapat diketahui ramai.
Program anjuran bersama Majlis
Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Resorts World Genting ini juga memberikan saya
peluang untuk menginap selama dua hari satu malam di Awana Hotel Resorts World
Genting buat kali pertama. Keselesaan dan layanan yang amat memuaskan hati
membuatkan saya ingin untuk datang menginap lagi di sini. Sekiranya anda ingin
mengunjungi Pusat Peranginan Genting Highlands saya mengesyorkan anda supaya
menginap di Awana Hotel Resorts World Genting kerana selain daripada memberi
keselesaan dan layanan yang baik, permandangan di sini juga sangat cantik.
Selain program
utama kami, kami sempat singgah ke warung Pak Man Cendol n Makan di Kuala Kubu
Bharu semasa dalam perjalanan ke Awana Resort World Genting. Manakala pada hari
keduanya kami sempat melawat Happy Bee Farm dan sebelum balik ke Kuala Lumpur
kami singgah di Taman Santai Strawberi Genting.
Saya ingin
mengakhiri terbitan saya kali dengan mengajak anda semua menikmati seni ciptaan
Tuhan melalui gambar-gambar burung yang telah dihasilkan oleh ahli-ahli Birds Nature & Us (BNU), di “facebook” mereka. Semoga ianya akan memberi kesedaran
kepada kita terutama diri saya, akan hakikat kehebatan ciptaan Tuhan. Amin...