Setiap
kali sebelum menempah bilik untuk percutian tidak kiralah sama ada hotel,
homestay, resort atau seumpamanya pasti terlintas difikiran, apakah makanan
yang akan disajikan. Sedap atau tidak? Anda tidak perlu gusar jika berada di
PNB Ilham Resort Port Dickson, Negeri Sembilan. Menurut pihak pengurusan, mengekalkan
seni warisan masakan Melayu merupakan daya tarikan utama di sini selain
mengutamakan layanan dan perkhidmatan yang unggul berbanding penginapan lain
sekitar Port Dickson.
Baru-baru
ini saya berpeluang menyertai Program Sahabat Media Trip ke PNB Ilham Resort,
Port Dickson, Negeri Sembilan selama dua hari satu malam bersama-sama sahabat
media lain bagi memenuhi undangan pihak
pengurusan PNB Ilham Resort sendiri sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. PNB
Ilham Resort, Port Dickson terletak di pinggir Tanjung Tuan menghadap Selat
Melaka dan kira-kira 18 km dari bandar Port Dickson, Negeri Sembilan.
Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang satu jam dari bandaraya Kuala
Lumpur.
Ternyata
promosi terhadap seni warisan masakan Melayu yang diwar-warkan semasa sidang
media yang berlangsung sewaktu kami sampai bukan hanya sekadar kata-kata manis
sahaja. Buktinya kami disajikan dengan hidangan yang cukup luar biasa. Beraneka
jenis makanan disajikan dari pembuka selera hingga ke pencuci mulut. Uniknya,
walaupun kami berada di Negeri Sembilan pelbagai jenis pencecah seperti budu,
sambal belacan, tempoyak dan cencaluk dihidangkan, saya dapat rasakan
seolah-olah telah berjalan menjelajahi ke seluruh Malaysia. Budu adalah sejenis
pencecah yang berasal dari Kelantan manakala cencaluk pula berasal dari Melaka,
sementara tempoyak terkenal di Perak dan sambal belacan pula terdapat diseluruh
Malaysia perbezaannya cuma pada cara penyediaannya sahaja.
Pelbagai
jenis kerabu dan pecal turut menjadi hidangan kami sewaktu makan tengahari dan
malam. Menurut Chef Zam Zam selaku Chef Eksekutif yang bertanggungjawab ke atas
setiap hidangan, masakan tradisional Melayu seperti gulai tempoyak ikan patin,
daging salai masak lemak, rendang itik minang, sambal udang petai, sup tulang
rawan dan pelbagai sajian Melayu tradisional yang unik disajikan demi memartabatkan
seni masakan tradisional Melayu sekaligus mempromosinya.
Hidangan
manisan pula, terdiri daripada kuih muih tradisional Melayu seperti pulut
serawa durian, ondeh-ondeh, kuih koci, seri muka dan bermacam-macam lagi. Saya
cukup teruja apabila melihat pelbagai jenis ulam-ulaman dan ada di antaranya
tidak pernah dilihat dan tidak tahu namanya seperti pucuk tenggek burung.
Tenggek burung nama yang agak unik dan lucu...
Pada
hari terakhir kami di sini, sebelum kami menikmati hidangan tengahari, chef Zam
Zam sempat mendemontrasikan masakan rendang buung puyuh. Kecur liur saya
apabila teringat semula betapa lazatnya rendang burung puyuh yang sempat saya
jamah sedikit.
Strategi
mempromosikan masakan tradisional Melayu amat berkesan untuk menarik minat
pelancong dalam dan luar negara dan secara langsung dapat memartabatkan seni
masakan dan makanan warisan Melayu ke seluruh dunia. Secara tidak langsung pula
dapat mengekalkan warisan ini dan ianya boleh didokumentasikan agar seni
masakan dan makanan ini kekal dan diwarisi turun-temurun.
Bagi
anda yang teringin untuk merasai sendiri air tangan Chef Zam Zam bolehlah
datang ke PNB Ilham Resort, Port Dickson. Nak tahu di mana lokasinya? Jom
membaca sambungan cerita tentang PNB Ilham Resort dalam terbitan seterusnya...