Pages

Thursday, April 24, 2014

Catatan Perjalanan: Sidang Media Program ‘Wings of KKB 2014’: ‘Selangor Birds Race’ Kuala Kubu Bharu - Awana Hotel Resorts World Genting 25 hingga 27 April 2014


Satu Sidang Media telah berlangsung pada 8 April 2014 di Awana Hotel Resorts World Genting bagi mewar-warkan program ‘Wings of KKB 2014’: Selangor Birds Race’ yang akan diadakan pada 25 hingga 27 April 2014. Program anjuran bersama Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Resorts World Genting ini menyediakan pelbagai acara menarik seperti seminar tentang burung, pertandingan mengenal pasti burung, pertandingan fotografi burung, ‘explorace’ & ‘mini explorace’, pameran dan cabutan bertuah. Menurut pihak MDHS objektif utama penganjuran Program ‘Wings of KKB’ adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti memerhati burung.



Terdapat 10 lokasi ‘checkpoint’ yang ditetapkan bagi acara pertandingan mengenal pasti burung untuk para peserta bergerak dari satu tempat ke satu tempat  bermula di Bandar Kuala Kubu Bharu dan berakhir di Resorts World Genting. Ianya memberikan peluang kepada peserta-peserta melihat dan mengenal pasti pelbagai spesis burung yang berlainan mengikut perbezaan ketinggian dari aras laut.

Hadiah menarik disediakan oleh pihak penganjur berjumlah RM10,000.00 dalam bentuk barangan bagi acara pertandingan mengenal pasti burung untuk setiap kategori yang dipertandingkan; kategori pelajar sekolah, kategori terbuka dan pelajar universiti & kolej. Manakala, hadiah utama untuk pertandingan fotografi burung adalah kamera Nikon D3100. Terdapat juga hadiah penginapan dua hari satu malam di First World Hotel dan hadiah-hadiah sampingan.

Penaja utama bagi program ini adalah Resorts World Genting. Cik Katherine Chew, Timbalan Presiden Komunikasi dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, memaklumkan, penglibatan untuk dua tahun berturut-turut menunjukkan kesungguhan Resorts World Genting di dalam program yang memberikan kesedaran kepada pelancong dan masyarakat setempat tentang pemuliharaan hutan dan alam semulajadi.

Menurut penganjur, selain mempromosikan Daerah Hulu Selangor dan Pusat Peranginan Genting Highlands sebagai salah satu lokasi memerhati burung, program ‘Wings of KKB 2014’ : Selangor Birds Race’ ini adalah untuk memeriahkan dan menyokong Tahun Melawat Malaysia 2014. Program ini juga mampu menarik pelancong dalam dan luar negara terutama pemerhati burung untuk datang dan menjadi peserta.



Terima kasih kepada Majlis Daerah Hulu Selangor, Resorts World Genting, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan M-Mode Berhad di atas jemputan ini sekaligus memberikan saya kesempatan untuk mengunjungi Awana Hotel Resorts World Genting buat kali pertama.

Untuk maklumat lanjut boleh di dapati di laman sesawang MDHS atau blog wingsofkkb.

No comments:

Post a Comment