Pages

Monday, April 7, 2014

Catatan Perjalanan: Seni Warisan Masakan Melayu Daya Tarikan Utama PNB Ilham Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan, Malaysia

Setiap kali sebelum menempah bilik untuk percutian tidak kiralah sama ada hotel, homestay, resort atau seumpamanya pasti terlintas difikiran, apakah makanan yang akan disajikan. Sedap atau tidak? Anda tidak perlu gusar jika berada di PNB Ilham Resort Port Dickson, Negeri Sembilan. Menurut pihak pengurusan, mengekalkan seni warisan masakan Melayu merupakan daya tarikan utama di sini selain mengutamakan layanan dan perkhidmatan yang unggul berbanding penginapan lain sekitar Port Dickson.



Baru-baru ini saya berpeluang menyertai Program Sahabat Media Trip ke PNB Ilham Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan selama dua hari satu malam bersama-sama sahabat media  lain bagi memenuhi undangan pihak pengurusan PNB Ilham Resort sendiri sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. PNB Ilham Resort, Port Dickson terletak di pinggir Tanjung Tuan menghadap Selat Melaka dan kira-kira 18 km dari bandar Port Dickson, Negeri Sembilan. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang satu jam dari bandaraya Kuala Lumpur.

Ternyata promosi terhadap seni warisan masakan Melayu yang diwar-warkan semasa sidang media yang berlangsung sewaktu kami sampai bukan hanya sekadar kata-kata manis sahaja. Buktinya kami disajikan dengan hidangan yang cukup luar biasa. Beraneka jenis makanan disajikan dari pembuka selera hingga ke pencuci mulut. Uniknya, walaupun kami berada di Negeri Sembilan pelbagai jenis pencecah seperti budu, sambal belacan, tempoyak dan cencaluk dihidangkan, saya dapat rasakan seolah-olah telah berjalan menjelajahi ke seluruh Malaysia. Budu adalah sejenis pencecah yang berasal dari Kelantan manakala cencaluk pula berasal dari Melaka, sementara tempoyak terkenal di Perak dan sambal belacan pula terdapat diseluruh Malaysia perbezaannya cuma pada cara penyediaannya sahaja.





Pelbagai jenis kerabu dan pecal turut menjadi hidangan kami sewaktu makan tengahari dan malam. Menurut Chef Zam Zam selaku Chef Eksekutif yang bertanggungjawab ke atas setiap hidangan, masakan tradisional Melayu seperti gulai tempoyak ikan patin, daging salai masak lemak, rendang itik minang, sambal udang petai, sup tulang rawan dan pelbagai sajian Melayu tradisional yang unik disajikan demi memartabatkan seni masakan tradisional Melayu sekaligus mempromosinya.




Hidangan manisan pula, terdiri daripada kuih muih tradisional Melayu seperti pulut serawa durian, ondeh-ondeh, kuih koci, seri muka dan bermacam-macam lagi. Saya cukup teruja apabila melihat pelbagai jenis ulam-ulaman dan ada di antaranya tidak pernah dilihat dan tidak tahu namanya seperti pucuk tenggek burung. Tenggek burung nama yang agak unik dan lucu...


Pada hari terakhir kami di sini, sebelum kami menikmati hidangan tengahari, chef Zam Zam sempat mendemontrasikan masakan rendang buung puyuh. Kecur liur saya apabila teringat semula betapa lazatnya rendang burung puyuh yang sempat saya jamah sedikit.


Strategi mempromosikan masakan tradisional Melayu amat berkesan untuk menarik minat pelancong dalam dan luar negara dan secara langsung dapat memartabatkan seni masakan dan makanan warisan Melayu ke seluruh dunia. Secara tidak langsung pula dapat mengekalkan warisan ini dan ianya boleh didokumentasikan agar seni masakan dan makanan ini kekal dan diwarisi turun-temurun.

Bagi anda yang teringin untuk merasai sendiri air tangan Chef Zam Zam bolehlah datang ke PNB Ilham Resort, Port Dickson. Nak tahu di mana lokasinya? Jom membaca sambungan cerita tentang PNB Ilham Resort dalam terbitan seterusnya...

No comments:

Post a Comment